Sunday, 12 April 2015

KONVENSYEN FALAK PERINGKAT NEGERI SELANGOR -GERHANA BULAN PENUH-

MASJID TENGKU AMPUAN JEMAAH, BUKIT JELUTONG, SHAH ALAM - TANGGAL  4hb April 2015 hari Sabtu, skuad Falakian UM telah menyertai Konvensyen Falak Selangor yang telah diadakan di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Shah Alam. Program ini telah dianjurkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor dengan disertai oleh pelbagai agensi lain seperti ANGKASA, USM, Persatuan Falak Selangor dan pelbagai lagi. Konvensyen tersebut bermula pada hari Jumaat dan berakhir pada hari Ahad. Konvensyen tersebut telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Dato' Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.

Skuad Falakian UM telah membuat pameran pada hari tersebut. Kami telah mempamerkan peralatan replika sistem suria, teodolit, ushikata (sejenis kompas untuk mengukur arah kiblat) serta koleksi gambar objek samawi dan galaksi.




Khusyuk melihat replika sistem suria di pameran skuad Falakian UM


Jam matahari yang dipamerkan oleh Jabatan Mufti Selangor


Sebahagian instrumen astronomi yang dipamerkan oleh USM

 Turut serta agensi Angkasa Negara

Konvensyen ini juga bersempena dengan fenomena gerhana bulan penuh yang berlaku pada hari sabtu 4hb April. 


Orang ramai mula berkumpul di perkarangan masjid bagi mencerap gerhana bulan malam nanti termasuk skuad Falakian UM

Kami amat berbesar hati kerana kami dapat bekerjasama dengan ahli falak Amateur Malaysia yang juga pemilik kepada blog Falak Online, En. Shahrin Ahmad. Kami amat berbangga kerana beliau sudi bekerjasama dengan kami untuk turut serta dalam program ini.


En. Shahrin sedang memasang teleskop beliau

Kita merancang, hanya Allah yang menentukan dan perancangan Allah jualah adalah yang terbaik. Keadaan sekitar masjid kelihatan mendung dan berawan. Gerhana dijangka akan terjadi pada pukul 8.00 malam. Namun begitu, cuaca pada ketika itu tidak mengizinkan kerana keadaan berawan berlarutan sehingga lewat malam. Tidak ada rezeki buat kami serta orang ramai untuk melihat salah satu kekuasaan Ilahi yang amat menakjubkan. 

Keratan akhbar Harian Metro bertarikh 8hb April 2015 !

Walaupun kami pulang dalam keadaan sedikit kecewa, ia tidak sekali-kali mematahkan semangat kami untuk terus berjuang dalam bidang falak ini. Kekecewaan kami terubat dengan melihat wajah-wajah sebahagian daripada skuad kami terpapar dalam keratan akhbar Harian Metro. :)

 Sesungguhnya, ini merupakan pengalaman yang amat berharga kepada kami terutamanya skuad Falakian UM tahun pertama kerana konvensyen ini merupakan langkah pertama kami berdepan dengan masyarakat awam dalam menyampaikan serta memupuk minat kepada orang ramai terhadap ilmu astronomi. 

-Ke arah mengembalikan kegemilangan ilmu Falak-